Status
Setiap yg berlaku,tak kira baik atau buruk,pasti ada hikmah yg tersembunyi yg kita tak tahu.

Tuesday 4 December 2012

| Wahai Manusia, Kamulah Yang Memerlukan Allah! |

Penulis : Cahaya Kesabaran Masa : 23:04 Comments : 0 Labels :



Manusia makhluk paling istimewa yang Allah cipta. Tapi manusia makhluk yang paling suka 'buang' Allah.
Sepanjang usia kita, cuba ingat balik berapa banyak kali kita 'buang' Allah. Tak ingat bukan? Biasalah, manusia itu insan dan insan itu sifatnya pelupa. Kalau begitu, mari kita sama-sama imbas kembali.
Ingat balik masa mula-mula kita lahir dulu. Allah bagi kita tengok dunia, keluar dari perut ibu kita dengan selamat. Ada kaki, ada tangan malah mata, mulut dan hidung kita tak terbalik kedudukannya, elok terletak di tempat yang sepatutnya. Cuba kira, berapa kali saja kita pernah rasa syukur dengan anugerah ini? Berapa kali saja kita pernah katakan, 'Ya Allah, terima kasih atas rupa yang cantik ini'?
Tanpa kita sedar, Allah bagi kita kejayaan sejak kita belum lahir lagi. Bayangkan, berjuta-juta sperma yang berebut-rebut nak jumpa dgn ovum, kita yang berjaya. Ya, kita hina. Kita ini asalnya sperma saja, tapi kita sperma yang sombong. Pernah kita rasa bersyukur atas kejayaan besar ini?
Sejak sekolah rendah Allah bagi kejayaan. Tiba-tiba sampai sekolah menengah sangkut sikit dalam peperiksaan, tidak lepas masuk universiti, apa kita buat? Kita marah Allah. 'Penat aku belajar, Allah bagi gagal pula!', kata kita. Kita terus tinggalkan segala ibadah kerana kononnya merajuk dengan Allah.
Itu kalau tak lepas. Cuba kalau lepas dan Berjaya, kita kata, 'Alhamdulillah, usaha saya banyak, memang patut dapat keputusan cemerlang begini'. Kita 'mention' nama Allah sekali saja, buat cukup syarat. Yang banyaknya kita 'mention' nama kita, usaha kita. Sekali lagi kita 'buang' Allah. Padahal sebelum dapat, beria-ria minta pada Allah.
Bila jalan-jalan, ketika dalam keadaan musafir, cuba tanya diri sendiri, aku jaga atau tidak solat aku? Padahal rukhsah yang Allah bagi pada musafir sangatlah banyak. Jamak, qasar. Tapi masih tidak ramai yang buat. Lebih banyak yang tinggalkan, tidak solat terus. 'Takpe, di rumah aku solat penuh', kata kita. Baru dapat berjalan sikit, bergembira melancong, kita 'buang' Allah sekali lagi.



Baiklah. Cukup dengan sikap angkuh kita. Sekarang, cuba kita tukar watak.
Kita tinggal solat 5 waktu, kita kata solat itu penat, membuang masa. Apa Allah buat? Adakah Allah kata, 'penatlah jaga budak ini, tak payah jagalah, membuang masa saja'. Tidak! Allah masih jaga kita, lindung kita dari bahaya.
Kita marah Allah sebab tidak bagi apa yang kita mahu. Cuba kalau kita yang tidak bagi apa yang Allah mahu (tidak solat, tidak tutup aurat, etc), apa Allah buat? Allah masih lagi tahan langit supaya tidak jatuh pada kita, Allah masih lagi bekalkan oksigen supaya kita boleh bernafas, Allah masih lagi kawal perjalanan darah kita supaya kita mampu hidup. Berapa kali kita pernah berterima kasih padaNya?
Kita buat banyak sangat benda yang Allah larang, tapi Allah tidak pernah sesaat pun tinggalkan dan lupakan kita. Padahal, Allah dah nyatakan dalam Al Quran, yang kalau Dia mahu, bila-bila masa saja Dia boleh hapuskan kita.
"Wahai manusia, kamulah yang memerlukan Allah; dan Allah Dialah yang Maha Kaya, Maha Terpuji. Jika Dia menghendaki, niscaya Dia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yg baru untuk menggantikan kamu. Dan yang demikian itu tidaklah sulit bagiNya." [35:15-17].
Nak cipta kita sangatlah mudah bagi Allah. Padahal kita ini teramatlah 'complicated'. Cuba belajar biologi, bermacam-macam istilah yang ada dalam badan kita ini. Adakah kita fikir, untuk menghapuskan kita itu susah bagi Allah? Tidak susah sama sekali bukan?
Tapi, adakah Allah buat? Ketika kita abaikan perintah Allah, kalau Allah mahu, Dia boleh hapuskan kita pada saat itu juga. Tapi Allah yang sweet itu tak buat begitu. Allah sentiasa tunggu kita datang dekat Dia. Allah sentiasa rindukan suara kita memohon padaNya.
Jika kita sedar, sudah berjuta-juta peluang yang kita dapat dari Allah. Kalau orang bercinta, cukup sekadar memberi hingga peluang ketiga, jika masih diulang kesilapan yang sama, alamatnya Hai Hai Bye Bye lah. Tapi Allah, tidak akan pernah jemu untuk mmeberi peluang baru pada kita.
Allahkah yang memerlukan kita, atau kita yang memerlukan Allah?
"Wahai manusia, kamulah yang memerlukan Allah..."

Wallahua'lam.
Syukran Jazilan for reading.

| Berubahlah kerana Allah |

Penulis : Cahaya Kesabaran Masa : 23:02 Comments : 0 Labels :



Dalam kehidupan seharian, pasti kita tidak dapat lari dari perubahan, dalam setiap saat, mesti ada sahaja perubahan yang berlaku pada diri sendiri. Kita perasan atau tidak hanya Allah sahaja yang Maha Tahu. Mungkin juga akan ada kehadiran kawan kawan kita yang perasan perubahan tersebut.
"Bertambah kuat kepercayaan kepada agama, bertambah tinggi darjatnya dalam pergaulan hidup, dan bertambah naik tingkah laku dan akal budinya."
Namun, adakah kita berubah itu mengikut perubahan semasa ataupun memang kita hendak berubah demi kebaikan bersama?
Jelas apa yang kita lihat sekarang, kebanyakan di antara kita, berubah mengikut perubahan semasa. Jika mengikut trend yang happening sekarang contohnya k-pop band, ramai di antara kita mula mengikut jejak langkah mereka dengan berpakaian, bergaya, bercakap seperti mereka. Namun adakah perubahan tersebut hanya untuk kepuasan sendiri ataupun untuk mendapat redha Allah semata-mata?
Jika kita mengikut konteks peradaban dunia sekarang, mungkin ramai akan mengata, kita bukanlah seorang yang "up to date" atau tidak mengikut trend sekarang dan pelbagai lagi trend yang ada. Malah tidak sedikit pula yang akan menganggap kita sebagai mundur ke belakang jika tidak peka dan ikut dengan peredaran zaman yang sentiasa berubah.
Alhamdulillah, pada yang masih berpandangan jauh dan bijak'sana' lebih melihat daripada sudut pandangan yang jauh. Pandangan mereka bukan setakat senario yang bakal berlaku di 'sini' tetapi lebih melihat kepada senario dan kesan di 'sana' iaitu di alam yang lebih kekal tiada yang fana.
Perkara sebegini dipandang ringan oleh kerana mereka hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT apabila hendak berubah. Maka kefahaman mereka terhadap perubahan inilah - berubah kerana Allah akan membawa hati mereka lebih cenderung dalam mencapai nikmat iman dan redhaNya.
Demikianlah bagi mereka yang berubah bukan kerana Allah. Perubahan yang hanya mengikut trend terkini tanpa ada terselit kerana Allah akan membawa hati mereka lebih jauh dari mengingati Allah. Perubahan demi kepuasan sendiri hanya sementara, tidak kekal.
Berubah kerana manusia, kita tak akan dapat apa apa faedah, dari segi agama, ilmu dan juga pemikiran. Manusia itu adalah kita, dan telah diterangkan oleh Allah SWT hanyasanya manusia itu hanyalah sekadar hamba yang disifatkan dengan lemah dan sering berputus asa. Maka, apakah yang bakal terjadi sekiranya perubahan itu kerana manusia, bukan kerana Allah? Fikirkan lah sejenak.



"Aku kena berubah, kalau tak putera idaman aku tak nak dengan aku lagi.. Dia nak aku pakai tudung."
"Kalau nak dapat suami soleh, aku mesti berubah jadi solehah."
"Ayah tak izinkan kamu keluar rumah kalau kamu gagal lagi kali ni"
Seringkali kita dengar, ramai di antara kita apabila bercouple, akan berubah semata-mata untuk mengambil hati pasangannya. Kononnya ingin menjadi seorang yang memahami apa yang diingini oleh pasangannya. Agar merasa sehati dan sejiwa.
Ada pula yang teringin untuk jadi muslimah yang terbaik buat isteri demi lelaki pilihan, nak jadi anak yang soleh demi kebahagiaan keluarga, nak jadi student yang cemerlang demi Dean List dan bermacam macam lagi. Hakikatnya perubahan itu hanya semata-mata kerana manusia. Berubah hanya untuk mencapai apa yang diinginkan di hati.
Perlulah difahami, niat untuk berubah amatlah senang kerana niat itu hanyalah lintasan hati. Namun, untuk merealisasikan apa yang diniatkan perlunya suatu tindakan.
Jika niat itu semata-mata kerana Allah SWT, dan apabila azam itu telah tertanam seiring dengan niat yang ada, insyaAllah kita dapat berubah. Yakinlah sesuatu niat yang hanya dipersembahkan semata-mata kerana Allah sudah pastilah akan mendapat petunjuk dan bantuan dariNya.
Namun, jika berubah kerana manusia dan untuk manusia, siapa yang akan memberi petunjuk kepada kita sedangkan manusia itu (yang kita berubah kerananya) juga memerlukan petunjuk dan pertolongan dari Allah SWT.
Kesimpulannya, berubahlah kerana Allah SWT semata-mata untuk meraih redhaNya. Lakukanlah perubahan itu secara terus kepada Allah tanpa memerlukan orang tengah iaitu manusia lain untuk kita berubah. Buat kerana Allah pasti akan kekal akan tetapi jika kerana manusia, akan sia-sia dan bersifat sementara.
Jika takut untuk diterima masyarakat, usah risau dan gelisah kerana kita berubah untuk kebaikan bersama. Jangan takut kepada masyarakat kerana mereka adalah makhluk namun takutlah kepada Allah SWT kerana dia adalah Pencipta Agung kita.

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu, sehingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri "
(Surah Ar-Rad ayat 11)


Syukran Jazilan for reading.

| Khabarkanlah Cintamu Kepada Allah |

Penulis : Cahaya Kesabaran Masa : 22:59 Comments : 0 Labels :



"Jika kita mencintai seseorang biarlah kita mendiamkan diri kerana apabila kita diam itulah yang menjadi tanda cinta kita pada nya. Dan khabarkanlah perkara ini kepada Allah, kerana dia mengetahui segalanya daripada kita"
Memang benar apa yang apa yg terdapat dalam ayat di atas, dan saya tidak nafikan dan bukannya untuk dibanggakan tetapi sebagai perkongsian bersama kerana perkara inilah yang saya pegang hingga hari ini. Tapi bagi sesetangah orang perkara ini payah kerana ada segelintir orang sahaja yang sanggup menaggung rasa di hati dan menyatakan nya kepada Sang Pencipta.
Di sini saya ingin berkongsi apa yang saya baca mengenai "Cinta Mengikut Islam" ini:
1. Pendam dan luahkan pada Allah.
Pertama sekali, jika kita mencintai seseorang haruslah kita pendamkan dahulu dan menyatakan hasrat kita kepada Allah. Kita tidak perlu terburu buru takut perempuan/lelaki itu mencintai orang lain kerana jodoh ini adalah semua aturan Allah. Allah lebih mengetahui apa yang kita tidak ketahui.
Justeru, menyatakan perasaan kita kepada Allah terlebih dahulu, itulah cara yang paling terbaik kerana insyaAllah, Allah tidak akan memberi sesuatu kepada kita melainkan kita berhak mendapat nya dan dalam bab jodoh ini kita berusaha lah menjadi hamba Allah yang terbaik. Niatkan pertamanya apa yang kita lakukan ini bukanlah semata-mata untuk mendapatkan jodoh yang baik, tetapi adalah semata-mata kerana Allah.
Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Setiap kebaikan itu pastinya akan diganjari dengan kebaikan pula. Demikianlah juga dalam perihal jodoh sesudah kita mantapkan diri atas apa yang kita lakukan semata-mata kerana-Nya, sudah tentulah Allah akan berikan yang 'sekufu' iman dengan kita. Jika kita berusaha menjadi hamba yang soleh/solehah, maka Allah berikan kebaikan ke atas usaha itu.
Allah telah janji dan berfirman dalam kitabNya yang bermaksud:
"Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik begitu lah sebalik nya"
(Surah an-Nur ayat 26)
2. Nilai dan selidiki sebelum mencintai.
Cinta itu hadir tanpa kita sangka. Kadang-kadang ianya berputik tanpa kita sedari. Ada pula yang hadirnya walau hanya pertama kali bertentang mata (sekali pandang). Namun, sebelum kita membiarkan cinta itu tertanam di lubuk hati kita yang paling dalam, maka nilailah cinta kita itu semula.
Adakah cinta kita itu untuk dunia sahaja? Kerana kemewahannya kah? Untuk memuaskan nafsu diri kah? Atau semata-mata kerana untuk menyempurnakan agama? Andai cinta kita kepada seseorang itu hanyalah kerana nafsu dan dunia, maka rugilah kita kerana kita tidak akan dapat apa-apa melainkan kepuasan hanya di dunia. Tetapi jikalau kita mencintai seseorang kerana Allah dan berniat untuk memuliakannya dengan ingin menikahinya maka besarlah pahalanya sedang perkahwinan itu diibaratkan seperti membina sebuah rumah Allah.
Mungkin ada yang berkata;
" Tak kan la awak kahwin itu bukan sebab kecantikannya"
"Aik, awak nikah ni tanpa nafsukah?"
Ya, benar!. Sebagai manusia kita dikurniakan nafsu, cintakan kecantikan. Hakikatnya semua manusia cintakan kecantikan, hatta Allah juga sangat mencintai kecantikan kerana Allah itu bersifat dengan kesempurnaan. Begitu juga dengan bernikah kerana nafsu. Namun, antara asbab itu, jadikanlah pernikahan kerana Allah itu berada di tingkatan yang paling atas. Nikah kerana Allah itu yang paling utama dan pertama.



3. Jauhilah 'bercouple".
Andai diri telah mencintai seseorang, maka berusahalah untuk menghindarkan diri kita dari ber "couple" kerana perkara ini langsung tidak dianjurkan dalam Islam. Sesungguhnya budaya couple ini bukanlah satu pegangan Islam kerana padanya terlalu banyak perkara-perkara yang boleh membuatkan pasangan bercouple ini lebih cenderung kepada mendekati zina.
Sepertimana di dalam al-Quran ada menerangkan, "la taqrabuz zina" yang bermaksud, "Janganlah kamu dekati zina" yang mana para ulamak mengistinbatkan hukumnya sebagai haram. Maka, apakah dengan bercouple juga tidak termasuk di dalam mendekati zina? Walaupun mungkin ada antara pasangan couple yang berkata;
"Saya tidak pernah keluar berdua dengan dia"
"Ana jarang telepon..."
"Awek aku tak pernah sms pun. Kalau ada pun perkara yang penting je"
Namun, tanpa sedar kita tidak tahu bahawa kita sedang melaku zina hati yang mana sedikit demi sedikit akan membawa kita melakukan dosa yang lebih besar. Nau'uzubillah
4. Solat Istikharah dan musyawarah.
Sebaik-baik keputusan ialah dengan meminta petunjuk kepada Allah dan bermusyawarah (berbincang) meminta pendapat daripada orang yang dipercayai. Tiada seorang pun yang Allah janjikan akan merasa rugi dengan bermohon kepadaNya. Maka, andai diri telah nekad dan memilihnya kerana Allah atas asbab agamanya, solatlah istikharah mohonkan petunjuk yang terbaik untuk agama kita, kehidupan kita pada masa itu mahupun pada masa yang mendatang.
5. Bertindaklah ke arah kesempurnaan Iman.
Alhamdulillah, jika Allah telah berikan kelapangan di atas solat istikharah yang kita lakukan. Salah satu daripada petunjuk istikharah selain mimpi ialah apabila hati kita terasa lapang dan yakin dengan keputusan yang ada. Maka, bertindaklah. Bertindak di sini ialah dengan memilih seseorang menjadi wakil kita untuk meneruskan hajat kita.
Sesungguhnya Islam agama yang indah. Jika dijadikan pegangan dan cara hidup pasti hidup terasa mudah. Demikianlah juga adat yang ada. Maka, selagi adat tidak menyalahi syariat, gunakanlah 'adat' seperti merisik, bertunang dan seterusnya. Semoga Allah merahmati dalam menuju ke arah kesempurnaan iman itu.
Saudara saudari saya sekalian, couple ni memang indah tetapi beracun. Saya tidak mahu rakan-rakan saya diluar sana terkena mainan syaitan ini kerana saya juga pernah merasainya sekali suatu ketika dahulu. Memang benar, pada mula berasa semuanya manis, namun pertengahannya semakin kurang dan akhirnya tawar dan pahit sekali untuk ditelan. Moga ianya menjadi pengajaran buat saya.
Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah supaya semua hubungan kita dengan manusia mendapat keredhaanNya dan Allah akan menjadikan kita insan yang lebih baik supaya insyaAllah kita dikurniakan pasangan yang juga baik.

Syukran Jazilan for reading.

| Nikmat Hijrah |

Penulis : Cahaya Kesabaran Masa : 22:57 Comments : 0 Labels :



Alhamdulillah... Hanya perkataan itu yang mampu aku ucapkan. Sujud 1000 tahun pun tidak cukup atas nikmat yang tak ternilai ini. Terima kasih Ya Allah atas hidayah yang tidak terhingga ini. Sungguh Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Aku cuma gadis biasa, bukan dari sekolah agama, bukan juga dari keluarga ulama. Aku hanya ingin berkongsi cerita tentang nikmat Allah yang tak terhingga buat hamba-Nya.
Kisahku bermula saat pertama kali aku melihat seorang gadis yang sangat manis bertudung labuh di salah sebuah kedai, di bazaar ramadhan. Aku terpegun seketika, Subhanallah! Sejuk mata memandang. Ya Allah, beginikah rupa penghuni syurgaMu? Subhanallah, terasa malu melihat diriku sendiri, kerana walaupun aku dibiasakan bertudung sejak kecil, berbaju lengan panjang dan tidak jarang, namun auratku hanya ditutup ala kadar sahaja.
Dulu, pernah juga terdetik di hati ini untuk bertudung labuh, kononnya ingin mengikut langkah ibu. Namun, oleh kerana takut pada perlian teman-teman sekeliling, niat itu terkubur sendiri.
Teringat aku pada satu ayat yang pernah aku baca suatu ketika dulu, "Hidayah itu ibarat cahaya dan cahaya tidak akan masuk ke rumah yang mana jendelanya tidak dibuka." Kata ustaz pula, "hidayah tu milik Allah. Hanya Dia berhak memberi hidayah itu kepada sesiapa pun. Sungguh, Allah itu maha pengasih lagi maha penyayang. Mintalah, pohonlah hidayah itu agar selamat dunia dan akhirat."
Aku termenung sendiri. Kalau bukan sekarang, bila lagi? Takkan nak tunggu sampai aku mati? Jika bukan aku yang membantu diri sendiri, siapa lagi yang sudi? Takkan nak lupakan dan biarkan perasaan itu terkubur sekali lagi?
Sejak dari hari itu, aku usaha melabuhkan apa yg ada. Tiada lagi baju t-shirt yang ala kadar tertutupnya, tiada lagi tudung bawal yang hanya indah pada sulaman namun nipis pada zahirnya. Biar apa orang kata, kolot, kampung dan sebagainya, asalkan aku selesa. Alhamdulillah, dengan kemudahan internet yang ada, aku gunakan untuk mencari artikel mengenai wanita, aurat, amalan-amalan yang bolehku amalkan dan sebagainya. Aku gunakan sebaik mungkin.
Aku akui, aku bukan seorang muslimah yang baik, tetapi aku ingin menjadi baik. Ya, aku ingin menjadi baik! InsyaAllah, mudahan-mudahan. Ameen. Aku percaya, bila niat kita baik, ingin menjadi baik, pasti Allah akan bantu kita. Hanya terpulang pada diri kita untuk memilih sama ada mulakan langkah pertama, atau mundur ke belakang dan lupakan semuanya.
Suatu hari, ketika aku menyimpan baju ke dalam almari ibu, tergerak di hatiku untuk mencuba sehelai tudung labuh bewarna merah jambu. Selesai sahaja kerja-kerjaku, aku ambil tudung labuh itu dan ku sarungkan di kepalaku. Aku berdiri di hadapan cermin. Aku lihat diriku. Subhanallah! Aku terkedu. Aku dapat rasakan sesuatu. Rasa tenang, dilindungi dan merasakan apa yang aku cari selama ini telah kutemui. Terasa ingin mengalir air mata. Sebak.
Tanpa aku sedari setitis air mata hangat mengalir di pipi. Tidak dapat ku tahan lagi, aku menangis sepuas-puasnya. Terkenang dosa-dosa yang dulu.
"Ya Allah, jika ini yang terbaik buatku dan jika ini dapat membahagiakanMu, kuatkanlah aku, permudahkanlah segala urusanku dalam hijrah di jalanMu." Didiklah aku menjadi muslimah yang solehah. Ameen! Bisikku dalam hati.



Sedikit demi sedikit, aku mula mula menjadikan laman facebook dan twitter sebagai medan perkongsian ilmu dan peringatan buat diriku sendiri. InsyaAllah tiada lagi sesi luahan yang hanya sia-sia. Sabda Rasulullah SAW : "sampaikan dariku walau sepotong ayat" ada juga sebilangan warga Facebook dan twitter yang seolah-olah mengejek diriku atas apa yang aku sampaikan. Tambah-tambah lagi kawan-kawan di sekolah. Manusia semua ada kekurangan. Mesti pernah buat salah dan aku janji aku takan ulangi kesalahan aku lagi. InsyaAllah. Alhamdulillah, semua itu tidak mematahkan semangatku, malah lebih menguatkan aku kerana mungkin ini cara Allah mendidikku. Bersabar, sabar dan sabar. Hanya satu yang aku takuti, dipersoalkan di akhirat nanti.
Dengan keyakinan dan kekuatan yang ada, pada hari raya yang pertama, aku kuatkan diri menggunakan tudung labuh buat kali pertamanya. Banyak yang bermain di fikiranku. Terasa terasing diri ini. Alhamdulillah. Semuanya ku hadapi dengan mengingati Allah. Ya, benar. Hanya dengan mengingati Allah, hati akan tenang. Ada yang menyindir, ada yang memuji, tidak kurang juga yang memandang sinis pada diriku.
Aku cuba kuatkan diri ini dengan mengingati perjuangan Rasulullah SAW, yang sememangnya di janjikan syurga, namun tetap bersabar menahan hinaan dan cacian dalam perjuangan dakwahnya. Inikan pula aku, hanya hamba Allah yang hina.. Aku kena kuat dalam perjuangan dakwah pada diriku sendiri. Subhanallah, Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah, untuk kekuatan ini.

Hari demi hari, aku semakin selesa. Ada juga kawan-kawan yang bertanya, "Tak panas ke pakai labuh?" "Kenapa pakai tudung labuh? Ibu kau suruh ke?" Aku hanya mampu tersenyum. Kebiasaannya hanya gelengan kepala yang ku berikan. Adapun jawapan, ayat ringkas ini yang ku berikan, "Yang terdedah itu lagi panas".
Sebenarnya, ingin ku katakan, aku sanggup berpanas di dunia daripada merasa azab di akhirat sana. Hanya doa yang ku kirimkan buat yang bertanya. Semoga dia juga merasai kemanisan hidayah ini. InsyaAllah.
Sahabat, aku ingin engkau turut bersamaku dalam penghijrahan ini. Sungguh, ku ingin kau turut bersamaku." Doaku dalam diam buat sahabat-sahabat satu class dengan ku.
Kisah ini bukan hendak menunjukkan yang aku ini sudah sepenuhnya baik. Masih banyak kekurangan yang perlu aku perbaiki dan masih banyak ilmu yang perlu aku pelajari.
Walau siapa pun kita di masa lalu, itu tidak bermakna kita tidak berhak untuk menjadi Muslimah yang baik. Jadikan masa lalu sebagai satu pengajaran yang membenihkan rasa keinsafan dan bukan satu alasan untuk tidak berubah.
Sahabatku, bila terasa ingin berubah, mulakan langkah, jangan berlengah lagi. Niat boleh dipimpin, tak perlu tunggu sampai seru, kita yang perlu mulakan dulu. InsyaAllah, Allah pasti akan bantu. Saat diri terasa lemah, ingat janji Allah. Allah bersama kita wahai sahabatku.
InsyaAllah, semoga kita semua mendapat hidayah-Nya sebelum mata terpejam buat selamanya. Doakan agar diriku ini kuat dan sentiasa istiqamah dalam penghijrahan ini. Ameen.

Waallahu'alam.
Syukran Jazilan for reading.

| Dakwah Bukan Hobi |

Penulis : Cahaya Kesabaran Masa : 22:54 Comments : 0 Labels :



Adik : Kak, dakwah tu wajib ke?
Kakak : Ye dik. Dakwah tu wajib bagi semua umat Islam. Seperti hadis Nabi SAW "Sampaikanlah dakwah walau satu ayat". Adik seronok tak jadi umat Islam?
Adik : Mestilah seronok kak. Saya seronok sangat dapat berpuasa di bulan Ramadhan, beraya di bulan Aidilfitri, seronok dengar nasyid, fesyen busana muslimah pun cantik-cantik malah orang-orang Islam banyak yang baik hati. Hehe.
Kakak : Kalau mahu seronok, kenalah berkorban untuk Islam,dik. Komited dalam pengorbanan. Tak bolehlah seronok untuk dapatkan kepuasan nafsu kita sahaja, tapi dakwah ala kadar. Macam sikap orang Melayu "senang aku buat, susah aku tinggalkan". Menyembah Allah janganlah hanya di tepi.

Dan di antara manusia ada yang menyembah Allah hanya di tepi, maka jika dia memperoleh kebaikan (kesenangan dunia) dia merasa puas, dan jika dia ditimpa suatu cobaan (musibah) dia berbalik ke belakang (murtad). Dia rugi di dunia dan di akherat. Itulah kerugian yang nyata." - Surah Al-Hajj -Ayat 11.
Adik : Tapi kan kak, kite kan 'busy'. Macam-macam benda nak kena buat.
Kakak : Emm... Kita kena bezakan ikut keutamaanlah,dik. Mana satu yang lebih utama?
Adik : Antara 'study' dengan dakwah ke? Hari tu, adik ada dengar satu pengisian, study no.1 tapi dakwah bukan no.2. Kak, boleh tak kita buat kerja dakwah bila 'free' je?
Kakak : Haa... Cuba adik fikirkan dakwah ni amanah, tanggungjawab, minat atau hobi?
Adik : Tentulah amanah kak. Tanggungjawab bagi setiap muslim yang telah mengucap syahadah.
Kakak : Tanggungjawab bukanlah penghalang untuk meminati sesuatu mahu pun mengembang minat. Minat seharusnya ditambah seiring dengan hobi. Walaupun hobi itu jarang sekali dilaksanakan.Dakwah juga bukanlah penghalang untuk teruskan hobi yang sudah sebati dalam diri kita. Hobi dan minat mungkin sebenarnya satu wasilah untuk dakwah. Apa hobi adik ye?
Adik : Err...adik suka menulis blog,kadang-kadang suka edit video. Tapi suka-suka je kak.
Kakak : Baguslah begitu. Tak salah bukan kalau kita gunakan hobi untuk berdakwah pula. Lagipun kita sedang berada dalam generasi Y dan Z, iaitu generasi celik internet. Jadi, dakwah kita pun kenalah lebih inovatif dan kreatif.
Adik : Ouhhh.. Baru saya faham kak. Minat saya sebenarnya ada tiga. Tiga bidang yang cukup berbeza dalam tiga dunia yang berbeza. Perubatan, agama dan sains komputer. Antara logik, wahyu dan kreatif. Sebenarnya, agak sukar sekali nak menemukan tiga dunia ini. Tapi alhamdulillah bagi saya, ia satu kelebihan. Saya dapat kaitkan dan hubungjalinkan "mereka" bertiga di kotak minda saya yang satu.
Kakak : Allahuakhbar! Hebatnya adik! Dakwah kita ini dakwah hati. Untuk berdakwah, sememangnya kita harus memenangi hati manusia, selagi mana ia tidak berkompromi dengan prinsip Islam yang kita imani. Kalau kita gunakan medium-medium Barat mahu pun men'ciplak' teknologi Yahudi untuk memperluaskan agenda islamisasi, itu adalah satu kemestian.



Sungguh, tidak ada dakwah tanpa kasih sayang. Kalau kita tidak dapat mengasihi manusia itu, kita tidak akan mampu men'dakwah'nya membawanya kepada Allah. Hinggakan, kerana kasih sayang ini, kita tidak akan fikir dua kali pun untuk mengorbankan wang, tenaga dan masa kita demi membawanya kepada Allah Taala. Apa sahaja. Mintalah masa ini untuk ummah.
Dakwah itu satu kewajipan bagi setiap insan muslim yang mengaku bersaksi dengan kalimah suci 'Laailahaillallah Muhammadurrasulullah'.

"Kenapa kita perlu berdakwah? Bukankah kita ini khalifah Allah? Manusia ini tidak sempurna, ada sahaja kesilapan yang sengaja dibuat ataupun tidak sengaja. Namun, itu bukanlah alasan untuk tidak terus berdakwah. Manusia bebas menggunakan apa sahaja wasilah yang ada, selagi ia tidak bercanggah dengan syarak."

Dakwah : Antara amanah dan hobi? Apa pilihan anda?

"Sesungguhnya bai'ah (sumpah setia) dalam perjuangan bukan sekadar pada lafaz yang disaksikan. Bukan hanya tandatangan dan mengisi borang. Namun yang paling penting, bila mana kita berbai'ah, diri kita bukan lagi diri kita yang sebelumnya. Diri kita bukan lagi milik diri kita sepenuhnya, tetapi diri kita milik sepenuhnya kepada perjuangan Islam, di mana ada tuntutan Jihad, di situlah kita akan berada dan bekerja hingga ke akhir hayat kita dengan meletakkan sepenuhnya Al-Jihad Fi Sabiluna"


Wallahua'lam.
Syukran Jazilan for reading.

| Izinkan Hati Ini Kembali PadaMu |

Penulis : Cahaya Kesabaran Masa : 22:52 Comments : 0 Labels :



Pasti hati setiap daripada kita akan sebak sebaik sahaja memikirkan segala dosa yang pernah kita lakukan. MashaAllah. Begitu banyak sekali sehingga tidak terhitung banyaknya. Allahu rabbi. Masihkah ada pengampunan dariNya.
Sahabat-sahabat yg ku sayangi. Setiap daripada kita dilahirkan dalam keadaan, situasi dan fikrah keluarga yang berbeza-beza. Ada yang dilahirkan dalam keluarga yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam. Ada yang dilahirkan dalam keluarga yang hidup seperti zaman jahiliyah. Ada yang miskin, kaya dan sebagainya. Namun jangan pernah perlekehkan semua ini kerana ia adalah ketetapan dariNya. Maka jangan lupa panjatkan syukur padaNya, terutama bagi kita yang automatik menjadi umat Islam sejak dilahirkan..
Alhamdulillah. Allah sayangkan kita. Allah sentiasa bagi peluang untuk kita bertaubat. Walau dosa yang telah kita lakukan itu tinggi menggunung mencecah langit sekalipun, sekiranya kita bertaubat dan menyesali perbuatan kita itu dengan bersungguh-sungguh, inshaAllah akan diterima olehNya kerana Allah itu Maha Pengampun. Jadi sahabat-sahabat yang ku kasihi, jika anda selama ini hidup dalam kejahilan dan ingin kembali ke jalan yang diredhaiNya, maka teruskanlah langkahmu. Jangan pernah menolak panggilan dari Ilahi ini, capailah hidayah dariNya ini. Kerana sekali engkau menolak, mungkin sukar untuk engkau mendapatnya kembali.
Sedarlah sahabat. Bukan kita yang memilih untuk hidup dalam latar belakang keluarga yang macam mana. Jadi pada sahabat-sahabat yang sudah tersedia hidupnya dalam latar keluarga yang berfikrah Islam, bersyukurlah. Anda sangat bertuah kerana ramai sahabat-sahabat kita yang perlu meraba-raba mencari cahaya. Sangat sukar dan perit ya sahabat. Bukan perkara yang mudah untuk mengubah diri, tambahan pula jika keadaan keluarga yang hidup dalam kejahilan.



Ana sedih apabila melihat sahabat-sahabat yang mensia-siakan nikmat yang Allah berikan. Didikan dari keluarga itu sudah ada, belajar di sekolah agama dan sebagainya. Akan tetapi, masih ramai juga yang dari menutup aurat bertukar menjadi menutup rambut. Kenapa perlu berhijrah dari bertudung labuh ke tudung biasa? Ana bukan ingin menyalahkan sesiapa, tapi ana sedih kerana kita diberi kesempatan dan peluang tapi ibarat mensia-siakannya.
Sedangkan sahabat-sahabat kita yang baru diketuk pintu hatinya dengan hidayah dari Allah seringkali menitiskan air mata, betapa cemburunya dengan mereka yang berfikrah itu. Betapa bersyukur saat mengenakan tudung yang labuh, walaupun tudung yang labuh itu tidak dapat menutup dosa-dosa yang dilakukan itu. Kadangkala di salah sangka oleh masyarakat sekeliling dek kerana hijrah yang dilakukan itu seperti terlalu ketara. Sedangkan diri hanya inginkan perubahan, inginkan pengampunan dariNya. Kenapa mesti dicerca, dicemuh, disindir. Ada juga yang apabila kelemahannya terpancar, lalu terus dihukum "selama ini tersilap menilai dirinya". Tambahan pula jika diketahui masa lalunya adalah kurang bernasib baik, jahil. "Patutlah, memang dulu dia jahil pun. Sekarang je pakai tudung labuh." Astaghfirullah. Kepada yang pernah berbuat demikian, letakkan diri anda di tempat mereka. Mungkin anda tidak faham kerana anda tidak pernah merasainya. Tahukah sahabat, dengan hanya mengenangkan perkara ini, mereka kembali menitiskan air mata. Betapa kuatnya hati meronta-ronta agar diputarkan balik masa. Ingin bersihkan jiwa dari segala noda kerana khuatir tiada pengampunan dariNya.
Namun, walau apa jua keadaan sekalipun, marilah sama-sama kita kembali mendekatkan diri padaNya. Marilah kita berusaha menjadi yang terbaik di sisi Allah, walaupun bukanlah yang terbaik dalam kalangan manusia. Manusia ini memang tidak akan pernah sempurna. Kerana sesungguhnya kesempurnaan itu hanyalah milik Allah.
Semoga Allah menerima taubat kita. Jangan pernah merendah-rendahkan sahabat yang lain. Astaghfirullah. Istighfar ya sahabat-sahabat. Istighfar. Semoga hati kita bersih dari sifat riak dan takabbur ini. Semoga husnudzon yang sentiasa menjadi pilihan kita. Semoga Allah izinkan hati kita untuk kembali padaNya.
Wallahua'lam.

Syukran Jazilan for reading.

| Bila Hidayah Itu Menyapa |

Penulis : Cahaya Kesabaran Masa : 22:50 Comments : 0 Labels :


Pernahkah hidayah Allah menyapa hatimu wahai teman? Mesti pernah kan? Walau pun hanya sekali. Ada sahabat pernah cakap padaku, " Hidayah ni mungkin hanya akan datang sekali je dalam hidup kita. Jadi bila kita rasa hidayah tu hadir, peluklah erat-erat dan genggam lah kemas-kemas. Jangan biarkan ia terlepas pergi. Andainya terlepas, mungkin hidayah itu takkan datang lagi."

Alangkah ruginya jika kita tak ambil peluang yang Allah bagi kepada diri kita. Allah dah bagi peluang untuk kita berubah untuk jadi manusia yang lebih baik, tapi kita buat tak peduli. Rugi sangat-sangat.
Hidayah itu umpama satu papan tanda. Ia akan menunjukkan kita ke arah destinasi yang kita tuju. Apabila kita mengikuti papan tanda yang pertama, kita akan jumpa papan tanda yang seterusnya. Tapi pastikan kita mengikut papan tanda yang betul. Barulah sampai ke destinasi yang kita tuju.
Tapi sekiranya kita berpaling daripada papan tanda yang pertama itu dan mengikut papan tanda yang lain, kita akan semakin menjauh dari destinasi yang dituju. Dan akhirnya kita akan tersesat.
Allah ada berfirman dalam Al-Quran:


"Dan Allah akan menambahi hidayah bagi orang-orang yang menurut jalan hidayah." (Surah Maryam 19:76)
Tengok tu, Allah akan menambahkan hidayah sekiranya dia menurut jalan-jalan yang betul. Dan demikianlah orang yang menerima hidayah Allah ni.
Sebenarnya, kadang-kadang kita sedar Allah bagi hidayah kat kita. Allah nak kita tinggalkan benda yang salah yang sedang kita lakukan sekarang. Tapi, kita sangat sayang nak tinggalkan benda yang sedang kita buat. Ye lah. Benda mungkar ni memang seronok nak buat. Lebih-lebih lagi bila dah jadi tabiat. Dosa ni boleh lah dianggapkan sebagai kurap. Semakin kita garu, semakin seronok pula rasa. Kalau tak dirawat, bila dah tinggal parut memang sukar nak dihilangkan.
Haa, sebab tu lah bila dah buat dosa. Akan rasa nak buat lagi dan nak buat lagi. Sebabnya dah sebati dalam jiwa. Apa yang Allah suruh buat, tak pulak kita buat.
Allah suruh solat. Kita cakap, alah dah tua-tua nanti aku solat la.
Allah suruh tutup aurat. Kita cakap, nanti aku dah tak vogue kalau pakai tudung ni.
Allah cakap jaga pandangan mata. Kita cakap, eye contact kan penting, buat apa tunduk-tunduk ni?
Allah cakap couple tu haram. Kita cakap, mana ada, tengok ramai je couple tu haa.
Macam-macam lagi yang Allah suruh kita buat dan tinggalkan. Tapi pasti ada sahaja alasan yang kita berikan. Benda yang haram pasti akan kita cuba sedaya upaya nak halalkan. Sedangkan dalam Al-Quran sudah terang-terang cakap tak boleh.
Jangan teman, jangan jadikan syaitan sebagai raja dalam hatimu. Jangan jadikan dia sebagai kawan.
Allah ada berfirman dalam Al-Quran:

" Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuhmu, kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala." (Surah Fatir 35:6)


Begitu juga nafsu. Didiklah nafsumu. Didiklah ia agar bekerja untukmu bukannya dirimu yang bekerja untuknya.
Sungguh, hidayah itu milik Allah. Hanya Dia yang berhak menganugerahkan hidayah itu kepada orang-orang yang Dia nak. Tak semua orang bertuah. Kalau tak, mesti semua orang kat dunia ni jadi baik sangat. Dan tiadalah sengketa dan permusuhan kat dunia ni. Jadi jangan bersedih bila kita dah pernah berusaha untuk ajak kawan-kawan atau keluarga kita berubah ke arah lebih baik tapi mereka tak nak ikut.

Sebab Allah dah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk." (Al-Qasas :56)

Walaupun Rasulullah SAW pun tak mampu bagi hidayah kepada orang yang baginda sayangi. Ini menunjukkan hidayah itu hak mutlak Allah. Cuma tugas kita ialah berusaha menyampaikan hidayah yang terkandung dalam Al-Quran. Sama ada mereka terima atau tidak, semua itu kerja Allah.
Jadi tersangatlah beruntung orang yang hatinya pernah disapa hidayah Allah. Gunakanlah peluang yang Allah berikan kepada kita dengan sebaik-baiknya. Dan hidupmu bakal berubah. "Better than before". Insya Allah.
Hidayah ni tidak akan datang bergolek. Hidayah Allah ibarat kunci yang hadir daripadaNya. Kunci kepada sebuah pintu kebaikan. Pintu tersebut hanya akan terbuka apabila orang tersebut berusaha untuk membukanya. Sekiranya tidak, maka pintu tersebut akan tertutup selama-lamanya walaupun kunci itu pernah berada di tangan kita.

Dan Allah ada berpesan dalam Al-Quran:
" Dan Allah menyeru (manusia) ke Darussalam (syurga), dan memberikan petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki ke jalan yang lurus (Islam)." (Surah Yunus 10: 25)

Agaknya sudah berapa kali kita dipilih untuk diberikan hidayah tapi entah sudah berapa kali kita menolaknya. Dan agaknya berapa kali lagi kita akan dipilih dan terus menolaknya? Itupun sekiranya Allah masih memberikan kita peluang untuk merasai nikmat hidayah-Nya. Bagaimana sekiranya hidayah itu tidak pernah kunjung tiba lagi?
Andainya ini hidayah terakhir...
Mari beramal dengan doa ni.

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi."
(Surah Ali 'Imran 3: 8)


Wallahua'lam.
Syukran Jazilan for reading.

| Hanya KepadaMu Ku Bermohon |

Penulis : Cahaya Kesabaran Masa : 22:44 Comments : 0 Labels :



Ku renung pada langit yang kebiruan. Subhanallah. Indahnya ciptaanMu ya Allah. Layakkah insan seperti aku ini berjalan dengan penuh megah? Sedangkan aku ini hanya berasal daripada setitis air mani yang hina.
Ya Allah, terlalu banyak dosa yang aku lakukan sehingga tidak terhitung olehku. Aku alpa ya Allah... Aku lupa bahawa aku ini hanya insan yang lemah. Tanpa sebarang kekuatan, dan jika Engkau tiada untuk membantu, apalah dayaku. Namun, seringkali aku berbuat kemungkaran tanpa menghitung pahala dan dosa.
Ya Allah, aku merasa beratnya beban yang ditanggung ini. Sepatutnya aku menjadi pendokong dalam meneruskan dakwah islam, namun aku sendiri menghancurkan diri sendiri. Aku malu ya Allah. Malu padaMu dan malu pada semua yang memandang tinggi kepadaku.
Ya Allah, bantulah aku. Bantulah hambamu ini untuk berhijrah ke arah kebaikan dan terus istiqamah. Bantulah aku untuk menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang islam. Bantulah aku ya Rahman. Mungkinkah suatu hari nanti, dengan kasih sayangMu, aku dapat meninggalkan dosa-dosa yang aku lakukan kini? Dengan rahmat dan kasihan belasMu, aku dapat melaksanakan tanggungjawab ku kepadaMu? Mungkinkah, sedangkan aku selalu membelakangkanMu?



Ku akui, amat susah untuk meninggalkan perkara yang sudah menjadi tabiat. Meskipun ia suatu kemungkaran, kerana sudah terbiasa. Ku fikirkan banyak lagi masa untuk bertaubat.
Hakikatnya aku sedar ya Allah. Hari demi hari umurku semakin berkurang dan berkurang. Sehinggakan pada suatu masa nanti sudah tidak mampu lagi untuk bertaubat kerana kesakitan menghadapi sakaratul maut. Dan mungkin juga tiada sempat untuk aku bertaubat lantaran nyawaku ini hanyalah satu pinjaman. Bila-bila sahaja Engkau akan mengambilnya tanpa ku duga.
Mungkinkah pada waktu itu baru aku hendak menyesal? Sedangkan peluang dan masa ku tiada lagi untukku. Aku tidak mahu ya Allah. Sungguh aku tidak mampu menanggung seksa azabMu kerana sakit yang ku alami kini pun sudah tidak tertanggung sakitnya. Ini baru ujian di dunia. Apakah di akhirat nanti ku akan menerima azab yang lebih peritnya?
Ya Allah, ampunkanlah aku. Hapuskanlah dosa-dosa yang telah ku lakukan selama ini dan terima kasih ya Allah kerana dugaan yang Engkau timpakan padaku inilah akhirnya yang mengingatkan diriku kembali, betapa kerdilnya diri ini.
Wahai sahabat..
Apakah kau masih alpa seperti diri ini jua? Berubahlah, kerana sahabatmu ini sayangkan dirimu. Dan kerana itulah aku tidak mahu apa yang berlaku pada diriku juga terjadi kepadamu. Gunakanlah kesempatan dan peluang yang ada untuk mendekatkan dirimu kepada Allah.
Untuk diriku dan dirimu, ingatlah "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan dia yang mengubah nasibnya sendiri". Saat ini, aku berusaha untuk mengubah diriku dan terus istiqamah dijalan yang Engkau redhai ya Allah. Aku ingin membawamu bersama-samaku. Ya, bersama-samalah kita menuju ke pintu syurga-Nya. InsyaAllah. Doakan saya wahai sahabat? Ana Uhibbuki Fillah.
Wallahua'lam.

Syukran Jazilan for reading.