
Manusia memang mudah terlupa. Sering terlupa tempat barang miliknya diletak, terlupa temu janji, terlupa isi-isi penting pelajaran sehingga tidak mampu menjawab dengan tepat dalam peperiksaan dan sebagainya. Sebab itulah manusia memerlukan organizer dan reminder.
Tidak mengapa jika manusia sering terlupa itu dan ini. Bukankah manusia dinamakan manusia kerana sifatnya yang pelupa? Itulah asal maksud perkataan al-insan daripada kata akar nasiya (lupa). Namun jangan sekali-kali kita terlupa bahawa kita pernah beraku janji dengan Pemilik timur dan barat serta Pencipta langit dan bumi. Kita pernah "menandatangani" satu kontrak dengan Pencipta kita. Itulah kesaksian Tauhid.
Allah berfirman yang bermaksud : "Dan ( ingatlah), ketika TuhanMu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman) : ' Bukankah Aku ini TuhanMu?' "Mereka menjawab : 'Betul (Engkau Tuhan Kami), kami menjadi saksi.' (Kami lakukan yang demikian itu) agar pada hari Kiamat kamu tidak akan mengatakan : 'Sesungguhnya kami (bani Adam) ialah orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)." (Surah al-'Araf 7 : 172)
Jika kita selalu ingat "aku janji" dan "kontrak" yang pernah ditandatangani dulu, maka perjalanan kita mencari redha Allah pasti akan jarang tersasar walau iman ada naik dan turunnya. Kekallah fokus demi memenuhi aku janji yang pernah dimeterai dulu dengan sentiasa mengikut majlis ilmu dan mengamalkan ilmu yang ada, bergaul dengan orang soleh dan selau bermuhasabah diri.

Nilailah diri ini dari kaca mata hamba Ilahi, bukan pada labuhnya hijabku, bukan jua pada petah bicaraku.. Diri ini masih bertatih di dunia fana, untukku cari hakiki di akhirat sana. Andai aku terjatuh, sambutlah tanganku. Andai aku tersesat, pimpinlah langkahku. Aku masih bertatih, dan tidak akan mengalah.
Wahai para ikhwan... Kamulah pemimpin agama, maka jadilah pemimpin soleh yang adil dan saksama. Bimbinglah keluargamu, sahabatmu, kembali ke fitrahnya. Jagalah iman, Islam dan ihsan agar tidak pantas langkahmu tersadung di medan perjuangan ini..."Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu."


No comments:
Post a Comment