
"Hujan lebat. Malam amat gelap. Saya juga tak tahu jalan ke arah bandar. Bagaimana saya mahu memandu untuk pergi ke bandar?" tanya seorang anak kepada ayahnya. "Kalau begitu ayah cadangkan kepada kamu satu cara," kata ayahnya. "Apakah caranya ayah?" "Kamu ikut sahaja lampu kereta yang ada di hadapan." "Baiklah ayah."
Sebaik memandu keretanya keluar dari rumah, pemuda itu menunggu sahaja kereta lalu. Kemudian dia mengekori belakang sebuah kereta yang menuju ke arah bandar, berpandukan lampu belakang kereta itu. 'Mudah sangat,' bisiknya. Apabila kereta tersebut membelok ke kanan, dia ikut belok kanan. Apabila membelok ke kiri, dia pun belok ke kiri. Apabila berhenti, dia juga berhenti. Seratus peratus ikut lampu kereta di hadapan!
Hujan masih lebat, dan cuaca juga masih gelap..namun dia yakin akan sampai ke bandar jika dia terus mengikut kereta itu. Tidak lama kemudian, kereta di hadapan bergerak perlahan dan akhirnya berhenti. Dia menunggu, tetapi kereta itu tidak bergerak-gerak lagi dan kemudian lampu belakangnya dipadamkan.
"Mengapa kamu berhenti? Kita belum sampai lagi di bandar," katanya setelah keluar dari kereta kepada pemandu di hadapan. "La, ini rumah saya! Kenapa saudara mengikut saya sampai ke pintu pagar rumah saya ni?" Pemuda itu menepuk dahinya. Itulah akibatnya mengikut orang lain secara membuta tuli.
Pengajaran : Kita hanya boleh memimpin orang yang celik. Jika kita ingin mengikut sesuatu fahaman, kumpulan, atau apa-apa sahaja dalam hidup ini, kita mestilah mengikutnya dengan ilmu dan penuh kesedaran. Jangan taqlid buta..
(Al-Quran panduan penunjuk jalan~)

Nilailah diri ini dari kaca mata hamba Ilahi, bukan pada labuhnya hijabku, bukan jua pada petah bicaraku.. Diri ini masih bertatih di dunia fana, untukku cari hakiki di akhirat sana. Andai aku terjatuh, sambutlah tanganku. Andai aku tersesat, pimpinlah langkahku. Aku masih bertatih, dan tidak akan mengalah.
Wahai para ikhwan... Kamulah pemimpin agama, maka jadilah pemimpin soleh yang adil dan saksama. Bimbinglah keluargamu, sahabatmu, kembali ke fitrahnya. Jagalah iman, Islam dan ihsan agar tidak pantas langkahmu tersadung di medan perjuangan ini..."Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu."


No comments:
Post a Comment