Status
Setiap yg berlaku,tak kira baik atau buruk,pasti ada hikmah yg tersembunyi yg kita tak tahu.

Saturday 14 July 2012

| Muhasabah Cinta Kepada Ilahi |

Penulis : Cahaya Kesabaran Masa : 04:31 Comments : 0 Labels :


Kita mengharapkan kebahagian dan ketenangan yang berpanjangan, namun apakan daya tatkala dugaan menimpa, kegelisahan juga yang menyelubungi. Ingatkan, panas sampai ke petang, hujan pula di pertengahan. Buat kebaikan amat susah, apatah lagi perlu berperang dengan keburukan yang lebih banyak, lebih nyata dan jelas di hadapan.


Sudahlah sering melakukan dosa, kadangkala sampai terlupa adakah kita masih sentiasa berhubungan dengan Allah Taala di setiap hela nafas kita ataupun tidak. Kadangkala juga, di saat keresahan, kegelisahan dan kecelaruan, kita sering terlupa untuk memohon kekuatan, kebahagiaan dan ketenangan dari Yang Maha Berkuasa sedangkan tiada siapa lagi yang lebih berkuasa dalam segala hal melainkan Dia.

Benar…

Sering kali kita menghadap Allah Taala di kala kita susah, sedangkan di kala kita senang, kita sering melupakan Allah Taala. Bagaimana tidak, pada masa itu Allah juga lupakan kita. Salah siapa? Mestilah kita, datang daripada kita sendiri. Tangan kita yang memilih, kaki kita yang melangkah.

Amal ibadat dilakukan hanya sebagai melepaskan batuk di tangga, buat hanya sebagai cukup syarat, tidak betul-betul fokus. Apabila ditimpa kesusahan, kegelisahan mulalah tangan ditadah mengadap kepada-Nya dengan penuh tertib.

Terlebih malang, ada yang inginkan doanya terus diterima ketika itu, saat itu juga. Ingat doa ini seperti mesin ATM, tekan je, terus dapat duit. Itupun kalau ada duit, kalau setakat amal yang dikerja baru sebesar kuman jangan harap nak itu dan ini. Harus berterusan, terus menerus melakukan kebaikan di samping berdoa (solat).

Pernah kita muhasabah, tanya diri sendiri di mana silap dan puncanya.

Kadangkala kita dan mungkin ada antara kalian semua yang terlupa akan hakikat mengapa Allah Taala beri kita sakit. Kita berfikir sejenak, adakah selama kita pernah diberi sakit, kita pernah bersyukur, redha, mohon ampun kepada Allah Taala dan menyedari itu adalah nikmat yang tersemat di sebalik hikmah, ataupun selama ini kita hanya merungut, merungut dan terus merungut, membebel tentang sakit yang datang kerana kerja dunia terbengkalai.

Kita pernah alami semua itu, tapi pernahkah kita muhasabah.

Dalam pada itu, tidak dinafikan dunia pada hari ini masih ada memperlihatkan insan yang Islam pada nama sahaja. Hakikatnya, dalam hati dan akal fikiran hanya Allah Taala sahaja yang tahu. Sebagai hamba kepada Tuhan Semesta Alam, Allah, kita sewajarnya menyedari betapa kerdilnya kita di hadapan Allah Yang Maha Agung. Kita ini hanya hamba kepada-Nya sahaja.

Kesedaran kita apabila diuji dengan pelbagai dugaan. Jujurlah wahai hati…

Mulakan perubahan pada diri sendiri, lakukan kebaikan secara berterusan, pada masa yang sama jangan terlalu mengharapkan balasan baik daripada manusia melainkan Dia. Buatlah amal ibadat seperti kita hendak mati esok hari, dan lakukanlah kerja (kebaikan) bagaikan kita hidup selama-lamanya.

IKHLAS-RINA

No comments: