
Sebegini larut hening memugar buana
rembulan pudar cuba kujejaki sinarnya
biarpun cuma sejalur...ayuhlah menyapa
biasi kaku jendelaku...payungi gelita
asyik membelenggu jagat raya.
Melodi sendu masih berlagu...kelabu di sini
menarikan not-not emosi yang tersendiri
layar diri mampir bertingkah dalam ilusi
lalu mengetuk dinding kamar hati ini.
Duhai malam
di bilur waktu...sungguh insan sepertiku
merindui harum asli santunmu
lembut hamparan murni pawana
lewat derai embun bertitisan
menemani indah lelap anak Adam.
Di persadamu jua malam...
sepertiga waktu antara lena dan jaga
segelintir perindu kasih Khaliqnya
meninggalkan enak pembaringan...
himpun ke sisi selaut manis mimpi
dipaksa berakhir seawal subuh sepi.
tuk mengalungkan kudus kasih buatMu
ya Azzawajalla...ya Rabbul Izzati...
seluruh raga sujud melafaz syahdu
basah lidah mengalunkan kalimahMu
segunung harapan penuh pasrah
meluruhkan kalbu separas lembah
insafi kenaifan diri cuma sementara
bertunjangkan paksi munajat kalamullah
bersendikan bhait-bhait doa taubat
menhimbau dosa yang terhimpun, termuat
dek batas usia kian sempit dan sendat.
Damba beningmu wahai malam...
mengusung firasat sedhaif hamba
ke alam jiran bersebelahan
seawal jodoh yang Kau takdirkan
untuk sekalian makhluk bergelar insan.
Penghijrahan tulen demikian hebat
ditunggu setia pasangan Malaikat
tiada kan kudakapi indah purnama
tiada beza cerah dan gelita
sekadar talam emas tahkan tembaga
yang kutadahi, kuisi titip-titip doa
saudara, teman jua cahayamata
sekian lama sangat dekat di hati
tanda diriku redupi rimbun memori...
Kudusnya doa kalian yang ditinggalkan
ibarat lentuk kerdipan dian
sebagai pengganti cahayamu rembulan
mohon tidak berseliseh rusuk kiri dan kanan
kerna hambatan dosa dan perbuatan...
Lalu kuseru semangat alpa dan tenggelam
terdidiklah mensyukuri rahmat-nikmat
harapan, kehendak segunung pinta
usahlah purnama jadi rajuk nostalgia
usah pungguk diajuk ceritera lambang setia
lantaran bak laranya cinta mereka
kita pun tetamu di bumi yang fana...
IKHLAS-RINA

Nilailah diri ini dari kaca mata hamba Ilahi, bukan pada labuhnya hijabku, bukan jua pada petah bicaraku.. Diri ini masih bertatih di dunia fana, untukku cari hakiki di akhirat sana. Andai aku terjatuh, sambutlah tanganku. Andai aku tersesat, pimpinlah langkahku. Aku masih bertatih, dan tidak akan mengalah.
Wahai para ikhwan... Kamulah pemimpin agama, maka jadilah pemimpin soleh yang adil dan saksama. Bimbinglah keluargamu, sahabatmu, kembali ke fitrahnya. Jagalah iman, Islam dan ihsan agar tidak pantas langkahmu tersadung di medan perjuangan ini..."Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu."


No comments:
Post a Comment