Status
Setiap yg berlaku,tak kira baik atau buruk,pasti ada hikmah yg tersembunyi yg kita tak tahu.

Monday 27 August 2012

| Menyemai Cinta Ketaatan |

Penulis : Cahaya Kesabaran Masa : 07:41 Comments : 0 Labels :



Mudah-mudahan Allah SWT yang Maha Mengetahui siapa diri kita yang sebenarnya, menolong kita agar dapat mengetahui kekurangan yang harus diperbaiki, menunjuk jalan yang harus ditempuh dan memberikan kurnia berupa semangat yang tidak pernah pudar sehingga kita tidak dikalahkan oleh kemalasan, tidak dikalahkan oleh kebosanan dan tidak dikalahkan oleh hawa nafsu.

Mudah-mudahan pula warisan terbaik diri kita yang dapat diwariskan kepada keluarga, keturunan dan lingkungan adalah keindahan akhlak. Kerana ternyata keislaman seseorang tidak diukur oleh hebatnya pembicaraan. Kedudukan di sisi Allah SWT tidak juga diukur oleh kekuatan ibadahnya semata. Tapi semua kemuliaan seorang yang paling benar Islamnya, yang paling baik imannya, yang paling dicintai oleh Allah SWT dan yang akan menemani Rasulullah SAW ternyata sangat khas, iaitu orang yang paling bertaqwa kepada-Nya. Orang yang mulia akhlaknya, taat beribadah dan ikhlas.

Allah SWT menciptakan jin dan manusia kemudian memerintahkan mereka untuk taat, bukan kerana Allah SWT memerlukan ketaatan makhluk-Nya. Sungguh, semua perintah dari Allah SWT adalah kurnia agar kita menjadi terhormat, mulia dan boleh kembali ke tempat asal kita iaitu syurga. Allah SWT Maha Mengetahui bahawa kita memiliki kecenderungan untuk lebih ringan kepada hawa nafsu dan lebih berat pada ketaatan. Oleh kerana itu, jika kita mendapat perintah dari Allah SWT dalam bentuk apa pun, si nafsu ada kecenderungan berat untuk melakukannya bahkan tak segan-segan untuk menolaknya.

Misalnya, ibadah solat, kita cenderung ingin melambatkannya. Urusan saf saja, tidak banyak yang mahu berebut menempati saf pertama. Perintah solat memang banyak yang melakukannya, tetapi belum tentu semua melakukannya tepat waktu. Begitu juga dengan tepat waktu, belum tentu juga bersungguh-sungguh khusyuk. Bahkan mungkin kita melaksanakan solat dengan fikiran yang merewang, melayang-layang entah ke mana sehingga memikirkan program atau urusan duniawi lainnya yang kita selesaikan dalam solat. Dan yang lebih parah lagi, kita tidak merasa bersalah kerananya. Saat menafkahkan rezeki untuk sedekah, maka si nafsu akan membuat seakan-akan sedekah itu akan mengurangi rezeki kita, bahkan pada lintasan berikutnya sedekah ini akan dianggap membuat kita tidak punya apa-apa. Padahal, sesungguhnya sedekah tidak akan mengurangkan rezeki, bahkan akan menambah keberkatan rezeki kita. Namun kerana nafsu tidak suka kepada sedekah, pelbagai alasan dibuat. Sesungguhnya, kita telah diperdaya dengan rasa malas. Bahkan saat malas beribadah, otak kita pun dengan kreatif akan segera berputar untuk mencari dalih atau pun alasan yang dipandang logik dan rasional. Sehingga apa-apa yang kita lakukan kerana malas, seolah-olah mendapat kebenaran kerana alasan kita yang logik dan rasional itu, bukan semata-mata kerana malas. Betapa hawa nafsu begitu pintar mengelabui kita. Lalu, bagaimana cara kita mengatasi semua kecenderungan negatif ini dari diri kita?

Oleh itu, bila timbul rasa malas untuk beribadah, ini bermakna hawa nafsu yang malas sedang merasuk menguasai hati. Segeralah lawan dengan mengerahkan segenap kemampuan yang ada dengan cara segera melakukan ibadah. Sekali lagi, bangun dan lawan! Insya’ Allah itu akan membuat kita lebih dekat kepada ketaatan. Janganlah kerana kemalasan beribadah yang kita lakukan, menjadikan kita tergolong orang-orang munafik, Na’uzubillah. Ingatlah bahawa jika kita tergoda oleh bisikan hawa nafsu berupa kemalasan dalam beribadah, maka kita sebenarnya sedang menyusahkan diri sendiri kerana semua perintah itu adalah kurnia Allah SWT buat kebaikan diri kita juga. Cuba perhatikan, Allah SWT menyuruh kita berzikir. Siapa yang mendapat pahala? Kita! Allah SWT menyuruh kita berdoa, lalu doa itu dimakbulkan. Untuk siapa? Untuk kita. Allah SWT sedikit pun tidak ada kepentingan manfaat atau mudarat terhadap apa-apa yang kita lakukan.

Tepatlah ungkapan seorang ahli hikmah,

“Allah mewajibkan kepadamu berbuat taat, padahal sebenarnya hanya mewajibkan kepadamu masuk ke dalam syurga-Nya (dan tidak mewajibkan apa-apa kepadamu hanya semata-mata supaya masuk ke dalam syurga-Nya)”

Abu Hasan As-Syazili menasihatkan bahawa,

“Hendaknya engkau mempunyai satu wirid yang tidak engkau lupakan selamanya iaitu mengalahkan hawa nafsu dengan lebih mencintai Allah SWT.”

Jika kita sengsara, susah dan menderita, itu bukan kerana siapa-siapa, itu semua kerana perbuatan kita sendiri. Padahal setiap nafas yang kita hembuskan adalah amanah dari Allah SWT dan sebagai wadah titipan yang harus kita isi dengan amal kebaikan. Sedangkan hak ketuhanan tetap berlaku pada tiap detik yang dilalui oleh seorang hamba. Abu Hasan lebih lanjut mengatakan,

“Pada tiap waktu ada bahagian yang mewajibkan kepadamu terhadap Allah SWT (iaitu beribadah).”

Jadi sungguh aneh jika kita bercita-cita ingin bahagia, ingin dimudahkan urusan, ingin dimuliakan tapi justeru amal-amal yang kita lakukan ternyata menyiapkan diri kita untuk hidup susah. Seperti orang yang bercita-cita masuk syurga tapi amalan-amalan yang dipilih adalah amalan-amalan ahli maksiat. Maka dari itu, ‘paksalah diri’ untuk taat kepada perintah Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT yang Maha Melihat kegigihan kita sentiasa menunjukkan jalan kepada kita untuk lebih mudah, lebih ringan dan lebih ikhlas dalam mengenal serta menunaikan segala perintah-Nya. Amin.

IKHLAS - HAMBA ALLAH

No comments: